Monday, October 19, 2009

Cerita 9 : Cerita Tewas. Sang Hikmah..

 
Bismillahirrahmanirrahim.
Cerita Sempena;

Hari ini 11hb Oktober 2009. Hari pengundian bagi PRK Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Malaysia. Antara calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) Zulkefly Mohamad Omar dengan calon United Malay National Organization (UMNO) Mohd Isa Samad.

Manakala seminggu lalu, aku berpeluang bersama gerombolan lautan rakyat dan pemimpin. Bersama-sama menunaikan solat fardhu Subuh dan solat sunat hajat, berjalan kaki sejauh 5 – 6 kilometer dan berhujan. Si Muslim bersorak zikr, mengEsa mengAgung Allah. Si Buddha bersorak sepanduk, semangat keadilan. Si Hindu bersorak gendang, paluan menolak kezaliman. Dari semuda di dalam stroller sehingga setua nenek yg tak mampu berteriak, hanya tangan diangkat memegang bendera tanda menyokong. Loghat bercampur baur, Kedah, Kelantan, Negeri dan Johor mesra sapa menyapa.

Mereka bermusafir semata atas niat menyatakan suara mereka. Suara yang ingin sama rata, samada kampung, pekan, bandar mahupun bandaraya. Mereka ingin jadi masyarakat Demokrasi Kelas Pertama. Kemajuan dalam ilmu dan tiada penindasan. Keadilan untuk semua, aman damai tenang dan selesa. Mereka sudah tidak tahan. Dengan tekanan kewangan berpunca pelbagai cukai dan kos bayaran, dengan bebanan emosi takut keselamatan diri dan harta.. walau di rumah mahupun di jalanraya, dengan kecelaruan sistem pendidikan, dengan budaya bercitarasa tinggi di bandar dan cerita tak punya rumah atau makanan di kampung pendalaman.

Di waktu puncak, melihat pada sayup mata memandang menjadikan angka 20,000 orang di bahagian penyokong Parti Islam SeMalaysia adalah suatu yang munasabah. Sudah lama aku rindu pemandangan ini. Melihat kepelbagaian agama dan etnik menyokong Islam atas dasar demokrasi keadilan sejagat. Dan aku pasti satu anggaran dari jumlah ini, akan bersilihganti menetap berkempen selama seminggu kelak.

Kembali ke hari ini. Sedar kuasa yang Maha Mengetahui dan Maha Adil hanya milik Allahurabbuna. Selepas solat fardhu Maghrib, aku bersimpuh memohon pada yang Esa. Agar kemenangan berpihak pada kami penyokong calon Parti Islam SeMalaysia. Agar kepimpinan Islam warisan Rasullullah yang kami cintai memperolehi satu lagi tanah jajahannya. Hanya dengan kuasa barulah Islam dapat melaksanakan keadilanNya.

Tiba-tiba.., terdetik dihati sejenak satu cerita. Cerita si anak kecil pelumba kereta kawalan jauh didalam satu pertandingan. Kereta milik anak kecil ini langsung tidak secantik, segarang dan sehebat kereta milik lawan-lawannya. Saat berdebar menanti tembakan permulaan. Sang hadirin melihat si anak kecil menadah tangan berdoa. Matanya memandang langit ikhlas. Seusai itu bertarunglah mereka sengit. Di kemuncak saingan, kereta si anak kecil mencelah diantara dua kereta didepannya yang berlanggar. Dia telah memenangi pertandingan itu! Ketika di temubual, dia di tanya tentang doanya sebelum bermula pertandingan. Adakah dia berdoa supaya dia memenanginya? Jika benar, tentu dia gembira kerana doanya telah dimakbulkan Tuhan. Dengan airmuka yang tegas si anak kecil menjawab, “ Ya. Memang benar Tuhan telah memakbulkan doa saya, tetapi saya tidak berdoa supaya saya menang. Saya hanya berdoa pada Tuhan agar jika saya kalah dalam pertandingan ini saya tidak akan menangis “.

Sejenak dengan cerita tadi, langsung aku terus menyambung doa aku itu dengan, "Agar jika ditakdirkan kami kalah. Biarlah kekalahan itu menjadikan kami barisan penyokong dan pemimpin yang lebih kuat bersatu padu. Kami redha dengan hijab keadilanMu Ya Allah". Ingin tahu keputusan PRK itu, keputusannya bukan didalam atau diluar dugaan. United Malay National Organization (UMNO) menang besar!!. Cerita si anak kecil buat aku masih mampu mengharap doa aku Allah makbulkan. Aku belajar mengerti manis tewas dalam perjuangan Islam. Benarlah, selalu manusia tidak mengetahui apa yang diminta mereka selalu bukan yang terbaik. Tuntun aku Ya Allah sepanjang perjalanan hidup ini.

Kepada mereka yang menyokong dan memimpin. Keputusan ini adalah signal kepada trend United Malay National Organization selepas ini dan Parti Islam SeMalaysia harus terus pro-aktif disamping memperutuh perpaduan. Pilihanraya Umum Ke-13 adalah matlamatnya.

“ Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh ".  As-soff ; ayat 2 – 4.

“ Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Agama Islam? Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci. Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci.”
   As – Soff; ayat 7- 9.

” Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. “.
As –Soff; ayat 10- 13

Allahu'alam.Allahurabbuna.

No comments: