
Bismillahirramannirrahim.
Selahirnya kita di dunia ini, telah kita diajari pelajaran kita yang pertama iaitu 'untuk bernafas kita perlu menangis'. Sebagai satu signal besar AlKhaliq kepada hambaNya, yang sebenarnya hidup di dunia adalah suatu tempoh pembelajaran yang hanya tamat apabila tiba masa bertemu janji Allah. Mati yang pasti hadir tak tahu bila.
Setelah belajar untuk 'menangis', proses pembelajaran terus menerus berlangsung dengan garapan ibu bapa mengajar kita mengenal Allah pencipta segalanya dan membantu kita membiasakan diri untuk hidup di dunia sebagai seorang kanak-kanak. Dan secara lazimnya, usia rasmi digelar pelajar adalah sekitar pada umur 5 - 6 tahun.
Yang majoriti, bermula dengan pra-sekolah kemudian ke sekolah rendah, menengah, kolej dan berakhir di universiti. Lebih tinggi pencapaiannya pada peringkat universiti, menentukan taraf ilmu dan nilai individu itu di neraca masyarakat dan dunia. Akan dijadikan dia pakar rujukan dan penyelesai masalah di lingkungan bidang ilmunya.Ilmuwan sebutannya di dunia.
Demikianlah, kepentingan memahami tanggungjawab sebagai pelajar. Memahami dan kemudian menguasai apa yang telah dipelajari. Ini membolehkan pelajar bersedia menghadapi ujian (imtihan). Keluarlah apa jua soalan, baik yang dijangka atau tidak. Dengan yakin pelajar tadi pasti mampu menjawab setiap soalan dengan baik, mendapat keputusan yang cemerlang seterusnya memberi peluang kepada kelangsungan hidup sebagai seorang yang berjaya.
Tetapi, didalam proses pembelajaran itu sebenarnya golongan pelajar ini terbahagi kepada dua kelompok. Istilah stereotaip tentulah yang berjaya dengan yang tidak berjaya. Pada lisan yang lebih sedap, istilahnya adalah yang sedar dengan yang tidak sedar. Mengapa? InsyaAllah, dengan IlmuNya jua cuba kongsikan bersama..
Sebagai sifat ianya diciptakan, dunia diisi dengan pelbagai ilmu samada yang baik dari rahmat Hidayah Allah atau yang sia-sia dari kerakusan akal ditunjangi nafsu manusia. Golongan pelajar akan berusaha sedayanya dalam usaha menguasai ilmu-ilmu ini. Hatta terpaksa menggadaikan usia, menghabiskan tenaga, melaburkan wang ringgit, berjauhan dengan yang tersayang dan pelbagai lagi tanda kesungguhan untuk menguasai ilmu supaya berjaya hidup di dunia. Ilmu punca banyak keberuntungan. Itu fakta yang hakiki. Akan tetapi, mari lihat belajar dan ujian (imtihan) dari sudut pandang yang lebih luas ruang lingkupnya. Dari arah atas, arah mana ianya diturunkan.Melihat nun jauh apa yang Maha Suci Allah S.W.T rencanakan. Lahir dan mati sebagai hamba yang belajar (pelajar).
Yang mana bidang ilmunya diajarkan oleh Pensyarah dan Guru yang maksum, himpunan lagenda tenaga pengajar terbaik iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul sehingga yang terakhir Muhammad S.A.W. Diteruskan lagi setelah itu,kelas-kelas tersebut oleh ulama'-ulama' muqtabar pewaris nabi. AllahuAkbar, sedari aqilbaligh usia pelajar tersebut maka layaklah dia memasuki 'Dewan Imtihan' dengan penjaga imtihan mencatit setiap betul dan salah jawapannya. Tetaplah pelajar tadi mengalami proses pembelajaran dan imtihan tadi sehingga tamat tempoh waktu menjawab yang dihijabkan Allah bila, dimana, bagaimana, unik dan berbeza untuk setiap individu pelajar. Dan akhirnya, ingatlah! Allah jua yang akan memberi keputusan untuk setiap individu pelajar yang pernah mendiami 'Dewan Imtihan' ini. Yang lulus dianugerahkan antaranya Aljannah Adn yang mengalir dibawahnya sungai-sungai dan kekal abadi tanpa mati lagi. Anugerah Pelajar Yang Sedar. Manakala, yang gagal akan dihukum dengan antaranya wa'iyyazubillah Hawiyyah Annar yang maha azab. Juga kekal abadi tanpa mati. Anugerah Pelajar Yang Tidak Sedar.
Justeru, ingatan buat aku dan kalian. Apa pun ilmu dan imtihan yang kita hadapi didunia ini. Sentiasalah kita menilai dari semasa ke semasa (evaluate) bidang ilmu itu mengolongkan kita di kelompok yang mana? Yang sedar atau yang tidak?
(Antara soalan bocor yg boleh dikongsikan bersama.)
"Tanyakan kepada Bani Israel; 'Berapa banyakkah tanda-tanda (kebenaran) yang nyata, yang telah Kami berikan kepada mereka."
Al-Baqarah (2:211)
"Dan tanyakanlah kepada Bani Israel tentang negeri yang terletak berhampiran laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu."
Al-A'raf (7:163)
"Dan tanyakanlah kepada rasul-rasul Kami yang telah Kami utuskan sebelum kamu."
Az-Zukhruf (43:45)
"Maka demi Tuhan, Kami pasti akan menyoal nereka apa yang telah mereka kerjakan dahulu."
Al-hijr (15:92-93)
"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu kelak bakal disoal."
Al-Isra'(17:36)
Allahu'alam. Allahurabbuna.
No comments:
Post a Comment