Thursday, November 25, 2010

Cerita 13 : Bila Yang Lemah Itu Urat Nadinya..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
” Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. ”
(Riwayat Imam Muslim)

Kehidupan di dunia adalah ‘penjara’ bagi orang mukmin. Pernyataan tadi antaranya memberi kefahaman, bahawa setiap insan yang mukminin itu setiap saat ketika hidupnya di dunia adalah sedang berjuang bagi menjalani tanggungjawab sebagai hamba Allah S.W.T. Sebagai AlMalik (Yang Menguasai), sesungguhnya Allahu Ta’ala akan memberi balasan untuk setiap perilaku insan pada hari dimana setiap yang pernah ‘bernyawa’ didunia menerima pengadilanNya.


Dengan rahmat Allah S.W.T yang sentiasa mendahului murkaNya, dianalogikan dunia indah ini seperti penjara yang suram. Sekali lalu dengan akal pendek sang hamba, metafora ini seakan janggal untuk difahami. Tetapi Islam itu rahmatNya, bersandar pada huraian-huraian tatacara hidup daripada Nabi kita Muhammad S.A.W memberi kefahaman jitu pada akal untuk hati menyakini metafora ini.


Penjara itu bersifat tarbiyyah (mendidik). Dengan bangunan-bangunan dikelilingi pagar tinggi berkawat duri, dibilikkan di bilik segiempat berdinding batu dan besi, kosong dan gelap. Iklim penjara hampir menyamai iklim gua batu tempat khulwah (bersendiri) Nabi kita Muhammad S.A.W, dan iklim ketika sendiri kita melaksana qiamulail (mendirikan solat malam). Iklim dimana penuh dengan elemen-elemen kebergantungan terus kepada Allahu Ta’ala dalam mencari tujuan hidup dan meminta-minta.


Memasuki penjara, individu yang sebelumnya kaya harta, kaya pangkat, kaya kuasa dan disanjung-sanjung dimata dunia telah kehilangan akannya. Kesemua ‘banduan’ di penjara akan dilayan atau dinilaikan sama rata. Oleh kerana itu, untuk individu yang sebelumnya miskin harta, miskin kuasa mahupun pangkat, lantas dipandang rendah oleh masyarakat dunia kerana serba kemiskinan. Penjara memberi ruang dan peluang yang adil untuk mereka tadi ‘menyinar’, asalkan sahaja segala peraturan dipatuhi dan sentiasa beradab dengan penguasa di penjara. Kedua-dua kelompok ini dipaksa bersaing dengan peluang yang sama untuk menempuhi ruang hidup yang sinonim dengan seksaan dan tekanan.


Berada di penjara, hubungan antara individu ‘banduan’ dengan dunia luarnya diberi batasan yang besar. Keterbatasan hubungan ini memberi peluang kepada individu tadi mengenal kembali siapakah dirinya dengan tidak dipengaruhi oleh ‘dunia’ yang diluar. Pengaruh-pengaruh yang secara sedar atau tidak, sebelum itu memonopoli halatuju dan tingkahlakunya. Disebalik seksaan, tekanan mahupun konspirasi dunia penjara, individu banduan pastinya perlu keyakinan dan jati diri (pegangan) yang mantap untuk terus bertahan. Maka dengan itu, jika ‘banduan’ ingin mendidik akal melalui kaedah muhasabah (penilaian semula) pada hati tentang apa yang telah, sedang dan akan dilakukan kepada kehidupannya. Penjara menyedia ruang yang sangat effektif untuk proses itu berlangsung.



” Atas perintah Jamal Abdul Nasser (Presiden Republik Mesir), Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili (Ketua Jama’ah Muslimat Ikhwanul Muslimin) mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.” Beliau dipukul dengan tongkat dan cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing ganas, direndam seharian dalam penjara air, ditempatkan dalam penjara api, dipenjara dengan tikus dan pelbagai lagi seksaan yang berlaku ke atasnya dirinya. Namun, beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah. Yang basah lidahnya dengan “ Hasbunallah Wani’mal Wakil ” ( Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah Sebaik-baik Pelindung ) Akhirnya beliau keluar daripada penjara pada tahun 1971 selepas dipindahkan ke Penjara Perempuan Al-Qanatir. Cebisan cerita dari buku tulisan beliau ‘Hari-Hari Dalam hidupku’ terbitan Pustaka Salam.


Duhai dunia, dari kisah Nabi Allah Yusuf A.S, sehingga yang terdekat masyhurnya kisah Profesor Dr. Imam H. Abdulmalik Abdulkarim Amrullah (Hamka). Alumni ‘banduan’ menghimpunkan nama-nama besar mujahid Allah dan RasulNya. Saya petik kisah cerita yang diatas kerana ujian penjara juga tidak terlepas dari mengunjungi mujahidah Allah. Sesungguhnya, Maha Adil itu antara sifat Allah SWT.


Kembali berpijak di tanah pada waktu ini, apa significant yang paling hampir pada diri, keluarga dan masyarakat? Tradisi cerita ‘terrorist’ dalam dunia moden, atau mungkin pelampau agama, atau apa saja yang datang dari sudut pandang itu mengikut budaya sedunia. Benarkah penjara itu hukuman pesalah menurut addinul Islam? Wujudnya insan yang baik dan yang tidak adalah sunatullahu ta’ala. Mencipta sesuatu secara berpasangan. Akan tetapi, akal ini percaya menelah benarnya tindakan seseorang itu adalah pada selama mana Allahu Ta’ala membenarkan ia. Bukan pada dunia dan adatnya.


Maka, jika dulu pernah hati mengimpikan hidup tenang mengikut arus tradisi dunia. Dalam melayan cerita suka duka meniti tangga-tangga kehidupan. Bermula jadi kanak-kanak kemudian remaja, dewasa dan tua. Diisi dengan belajar dan ibadah, bermain, bekerja dan berhibur. Ada masa sibuk tertekan sempit dengan masalah sendiri, ada masa lapang melancong dan membeli belah. Ah, begini hidup saja sudah kadang sibuk, kadang susah dan kadang sedih yang cukup menghimpit akal jiwa dan nafsu. Apa perlunya memikir tentang perjuangan yang sehingga kadang dilabel pelik melawan arus tradisi selalu. Cukuplah dengan keadaan tenang disini begitu!


Namun kini, hadith laporan Abu Huraira diatas memberi akal kefahaman (ilmu) hakiki. Sepertimana ungkapan selalu dari individu menyinar di zaman kotemporari kini, “ there is no comfort zone in life, push the limit.Addinul Islam juga begitu, metafora penjara sudah memberi signal khusus tentang keperluan perjuangan jihad di jalan Allah selama nafas udara masih dihirup. Marathon jihad hamba bermula dari hati dan hidayah, pergi kepada ilmu dan iman sehingga kepada nafsu dan persekitaran umat yang dicintai. Keperluannya banyak. Posisinya banyak. ‘Penjara Dunia’ bukan pada cerita pesalah atau papa akhlak sahaja. Tapi pada semua termasuk yang yang berilmu berharta berkuasa dan biasa-biasa. Sebanyak cerita seantero dunia. Letak duduk kanlah posisi jiwa diri dalam marathon Allahu Ta’ala ini dan tolong menolong selalu akan menjadi motivasi. Mohonlah dariNya, agar diberi kekuatan bermula dari urat nadi diri ini untuk berjihad mengubah diri, keluarga dan masyarakat. Bersama memikul amanah khalifah umat pilihan Rahmat Untuk Sekalian Alam. Menongkah arus adat jahiliyah yang dimodenisasi. Moga dari niat jadi tindakan dan berterusan jadi sumbangan kecil-besar meneruskan tradisi ‘penjara dunia’ Nabiyyin (Utusan Allah), shuhada’ (pejuang) dan sholihin da’ei (pendakwah) yang cintakan Allah dan akhirat yang tenang cantik.

 Al-Imam Al-Ghazali rahimahullahuta’ala. mencatatkan dalam kitab Ayyuhal Walad ( Wahai Anakku ) bab hakikat ikhlas, seperti berikut:
     Wahai anakku yang tercinta,
Dan engkau juga bertanya kepadaku tentang ikhlas, maka ikhlas itu bahawa engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah Ta'ala dan hati engkau tidak berasa senang dengan pujian manusia dan juga engkau tidak peduli dengan kecaman mereka.


Semoga setiap amal hamba yang diusahakan semata-mata kerana mengharap redha Allahu Ta’ala. Diterima disisiNya sebagai amal-amal yang sholeh. Amin.

Allahu’Alam. Allahurabbuna