
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Dunia ini suatu medan ujian. Tempoh masa menadah tangan menempuhinya? Langsung tidak diketahui akan jangka waktunya. Entah hari ini, entah puluhan tahun lagi. Hijab itu Allah layarkan buat kita sentiasa berfikir..dan bersedia.
“ Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun”
Al-Ma’arij:4.
Maha Suci Allah, hidup yang selama ini telah ditempuhi baru berkadar hampir seperdua kadar usia Rasul Muhammad S.A.W. Suatu tempoh masa yang entah dirasa pendek atau panjang tetapi yang pasti telah bermacam jenis rasa cerita nikmat dan dugaanNya. Inikan pula, bila berhadapan dengan AlMalik kelak sehari dinisbahkan dengan 50 ribu tahun pada hitungan masa kita di dunia. Maha Suci Allah, akan tetapi bertitik tolak dari firman Allah dalam surah Al-Ma’arij inilah makanya, dari Rasulullah S.A.W telah diberitahu ( shahih);
“ Demi Jiwaku yang berada didalam genggaman Tuhanku, Sesungguhnya Allaah S.W.T meringankan (tempoh masa di akhirat) bagi orang mukmin hanya sekadar lama masa bagi tempoh waktu menunaikan sholat fardhu “.
Berapa pula jangka masanya itu. Diambil kira kadar waktu purata menunaikan sholat fardhu adalah lingkungan 15 minit hitungan masa kita. Satu perempat dari satu jam.., yang dalam satu hari sahaja kita kita diberi sebanyak 24 kali! AllahuAkbar! Dia Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana! Antara 15 minit dan 50 ribu tahun, cerita di dunia inilah penentunya. Sebelum tiba di kerongkong buat kali yang terakhir… nafas khusnul khatimah impian.
Itu cerita tentang ajal, cerita tentang kematian dan yang pasti tetapi selalu dibiarkan. Apapun, yang dihadapkan dimuka dan dipeluk ke dada adalah warna-warna nikmat dan azab yang diconteng di kanvas dunia. Silih berganti. Lahir kita jadi kanak-kanak, jadi remaja, jadi dewasa dan jadi tua. Di beri kita watak, jadi anak, jadi adik, abang kakak, jadi suami isteri, jadi ayah ibu, jadi lelaki wanita, jadi kuli ketua, jadi miskin kaya dan lagi dan lagi. Mengikut aturan Ilahi, tiada yang lain melainkan untuk menguji. Dunia ini pentas ujian sementara akhirat rumah abadi hakiki . Antara nikmat dan azab, keduanya tetap meninggalkan bekas-bekas rotan pengajaran buat kita manusia (‘ibrah). Ada yang Allah uji dengan limpah nikmat dia lalai leka. Seronok dan selesa sehingga menghirup kesemuanya tanpa halal haram. Maka, ArRahman mendatangi dia dengan ingatan kasih sayangNya berupa azab dunia berkias watak taqdir. Lalu, kembali dia insaf mendongak mentaati dan bermunajat taubat seorang hamba. Tetapi ada pula yang kontras, ketika pentas ujian itu berupa mewah dengan limpahan ilmu dan senang dia hamba yang taqwa. Menundukkan kepala berkongsi memberi sambil menadah tangan sentiasa bersyukur dan meminta. Memang sifat pentas ujian ini tidak pernah statik. Lalu, terjatuh dia ke bawah dan hilang dia kehormatan yang diatas. Dia tidak pernah merasa perasaan ini, hanyutan ujian ini menjadi sesuatu yang ditakuti dan dibenci lantas dia mengingkari Tuhannya semata kerana ujian berada dibawah. Dia mengungkit amalnya, marah pada kias taqdirNya dan kemudian beremosi nafsu dan ego menelan yang dilarang pada jalannya mencari kembali nikmat-nikmat itu.
Sedarlah aku dan kalian,
“ Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, maka datanglah siksaan Kami (menimpa penduduk)nya di waktu mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari ”.
Al-A’raf:4
Lihatlah pada dunia, yang dihadapkan dihadapan mata atau yang jauh diterbangkan di maya jalur lebar beritanya. Sungguh benarkan Kalam Tuhan..? Jangan kita lalai dengan pentas ujian ini. Ini dunia.. jangan hanyut dengan watak yang Allah letak kita utk melakoninya. Jadi ibu,ayah atau anak, jadi ketua,peniaga atau kakiseni, jadi kanak-kanak,remaja atau dewasa tua. Jangan kita LEKA.
Jangan kita lalai dengan pentas ujian ini. Ini dunia.. jangan hanyut dengan keadaan susah atau senang, keadaan lapang atau sempit, keadaan jahil atau berilmu, keadaan berkuasa atau dikuasai. Sedarlah ia ujian. Fahami hikmahnya! Yang Maha Adil pasti beri yang baik untuk yang mahu memahami.
Akhirnya kawan,
Pentas ujian ini sebenarnya Allaah hamparkan agar manusia memakmurkannya dengan beribadah dan bersederhana sesama kita dalam menguruskannya (dunia). Kasih sayang kepada ibu, ayah, anak, suami, isteri, harta, kerjaya dan perniagaan atau apa saja adalah cebisan dari rahmatNya. Cebisan dari sifatNya yang Maha Agung diberi kita peluang merasainya. Samada kita sedar atau tidak, mengakui atau tidak, kita ALPA padaNya. Maka, hadirlah musibah sebagai ingatan kasih sayangNya. Fahamilah ia, dan jadikanlah ianya sebagai pemangkin untuk kita jadi lebih kuat dan bersemangat terus meredah lumpur dunia untuk bertemu Janji Allahu Ta'ala!
“ Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahwa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)? ”.
Al-Munafiquun:4
Dengan itu, perkataan yang paling sedap adalah ‘waspada’. Waspada hanya ada pada yang berfikir. Belajar dan bertindak dengan tidak berlengah. Laksanakan perubahan dan perbuatan yang sholeh (baik). Kita ada watak. Perelokkan watak itu agar kelak ‘masa’ kita menunggu giliran dipercepatkan kerana kita selalu memperuntukan ‘masa’ kita yang pendek didunia ini untuk merendah diri beribadat kepadaNya.
Allahu'alam. Allahurabbuna.
No comments:
Post a Comment