Friday, November 7, 2008

Cerita 6 - Pemimpin 1 Dinar 36 Darham.



Dia. Terbilang namanya dalam pahatan sejarah sebagai individu Jeneral Islam yang berani, warak, zuhud, khusyuk, pemurah, pemaaf tetapi tegas. Seorang penulis sejarah telah menulis:

“ Hari kematiannya adalah kehilangan besar kepada Islam dan umat Muslimin kerana mereka tidak pernah menderita sejak derita perginya empat khalifah utama (Khulafaurrasydin) ”.
“ Istana, kerajaan dan dunia diliputi wajah tertunduk, seluruh kota terbenam di dalam kedukacitaan dan rakyat mengikuti jenazahnya dengan tangisan hiba ”.

Dia. Menghabiskan usianya dengan bekerja keras siang dan malam untuk Islam. Hidupnya sangat sederhana. Minumnya hanyalah air kosong, makanannya juga sederhana, pakaiannya dari jenis yang kasar. Sentiasa menjaga waktu solat dan mengerjakannya secara berjemaah. Sepanjang hayatnya dikatakan tidak pernah terlepas dia untuk sholat berjamaah. Bahkan ketika uzur yang membawa ke ajal, dia tetap dapat bersholat jamaah. Sebaik imam masuk berdiri di tempatnya dia telah siap dicelahan saff. Kesukaannya mendengar bacaan al-Quran, hadith dan ilmu pengetahuan. Dalam bidang hadith dia mendengarnya secara teratur sehingga mampu mengenal jenis hadith. Hatinya sangat lembut dan pemurah, sering gugur airmatanya ketika mendengar bacaan-bacaan hadith.
Didalam buku ‘ The Historians: History Of The World’ disebutkan sifat dirinya sebagai berikut :

“ Keberanian dan keberhasilannya terjelma pada keperibadiannya yang luar biasa. Seperti Emir Imamuddin Zanki dan Emir Nuruddin Zanki, dia adalah Muslim yang taat ”.
“ Menjadi kebiasaan dia membacakan al-Quran kepada bala tenteranya menjelang pertempuran ”.
“ Minumannya adalah air kosong dan pakaiannya dari bulu yang kasar. Mengizinkan dirinya dipanggil ke depan pengadilan dan dia juga sendiri yang mengajarkan anaknya tentang Islam ”.

Dia. Ketua kerajaan yang mana di bawah pimpinannya Islam melebarkan naungan dari Asia hingga ke Afrika. Berkhidmat dengan telus dan cekap selama berpuluh tahun dari sandangan Jeneral Perang, Menteri Besar sehingga menubuhkan emiratnya sendiri.
Dia. Wafatnya dikafankan dengan kain tinggalannya yang jelas halal dan sederhana. Diletakkan jenazahnya di liang lahat dengan sempurna oleh puteranya Fadhal dan dikatakan disemadikan bersama pedang yang digunakan di setiap peperangannya moga menjadi saksi di hadapan Allaah kelak.
Dia. Antara barisan pemimpin agung Islam warisan Muhammad SAW. Mengasas dan mengepalai kerajaan seluas sepertiga dunia. Akan tetapi warisan hartanya cuma, 1 DINAR 36 DARHAM. Namun, tidak senilai warisan yang ditinggalkan, namanya tercalit kekal harumnya di seluruh pelosok lembaran sejarah dunia.
Dialah.. Sultan Shalahuddin al-Ayyubi.


Dari Aisyah r.a :”Bahawasanya isteri-isteri Nabi SAW di waktu Rasulullah telah wafat mahu menyuruh Uthman berjumpa dengan Abu Bakar untuk meminta pusaka mereka kepadanya. Kerana itu berkatalah Aisyah:”Apakah Rasulullah SAW tidak menyatakan:”Kami tidak meninggalkan warisan, apa yang kami tinggalkan adalah sedekah.”  (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Iktibar buat yang bergelar pemimpin.
Kerana kita berada di barisan hadapan dalam Mahkamah Agung al-Malik di Mahsyar yang maha benar.

Allahu'alam.Allahurabbuna.

No comments: