Thursday, October 23, 2008

Cerita 1 - Al-Fatihatul Blog -


Dari Abu hurairah R.A. telah bersabda Rasullah SAW bahawasanya;
“ Dia adalah ibu Al-Quran, dan dia adalah Fatihatul Kitab
dan dia adalah tujuh yang diulang-ulang “.
- Riwayat Imam Ahmad -


Dengan Menyebut nama Allah sebagai pembukanya. Izinkan aku di hari ' Pembukaan ' blog ini menceritakan perihal cerita Alfatihah. Seindah kalam yang bermaksud pembukaan. Menjadi nadi dalam solat. Ianya sebenarnya dipilih Allahu Ta'ala sebagai rumusan pati AlQuran, Islam dan makrifat tauhid mengenalNya. Maha Suci Allah. Lihatlah bagaimana tak terjangkau ilmuNya.

Dimulakan dengan menyebut nama ALLAH. ( Alhamdullihi Rabbil ‘alameen - segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam) Tidak ada puji, apapun pujian dan bagaimana ia untuk yang lain, melainkan hanya untuk Allah SWT. Di Dalam ayat ini juga disebut Tuhan sebagai Rabbi atau Rabbun yang juga sinonimnya Pemelihara, Pengasuh, Pendidik dan Penyubur.
Diikuti dengan ayat yang menyebut dua dari nama-nama Allah iaitu ( ArRahmanirRahim - Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang ) menampakkan sebenar betapa pertalian antara Al-Khaliq dengan makhluknya.. yang kelak akan AlQuran ceritakan berulang-ulang betapa murahnya Rahmat dan Kasih Sayang Allahu Ta'ala terhadap sekalian makhlukNya.DisambungNya dengan lagi ajaran pokok AlQuran iaitu hari Pembalasan, hari Qiamat, hari Dibangkitkan, semua cerita dari tiupan kedua sangkakala sehingga nikmat hal syurga atau neraka tersimpul padu dalam ayat (Maliki Yaumiddin - yang mempunyai hari pembalasan ). Kemudian, cerita setiap ibadah dan kehendak itu hanya kepada Allahu Ta'ala, teras dalam tauhid. Maka, ( Iyyaka na’buduwa iyyaka nasta’in - hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau tempat kami meminta pertolongan ). Manakala, untuk mendapatkan cinta dan redha Allah, telah Allah tunjukkan bagaimana bentuk cara dan lurusnya perjalananNya itu, berbekal bukti realiti pesuruhNya dari bapa kita Adam A.S hingga kepada Nabiuulrahmah Muhammad SAW membawa syariat seterusnya memimpin manusia. Menuntut kita pelajari dan jadikan contoh nyata, pati AlQuran ini Allah telah isikan pada ayat ( Ihdinasshirathal Mustaqeem – Tunjukkan kami jalan yang lurus ). AlQuran itu khabarkan berita-berita gembira kepada insan-insan yang taat dan setia patuh yang mana dalam istilah agama diistilahkan sebagai Wa’ad iaitu cerita ceria syurga akhirat untuk hamba yang berjaya. Cerita ini di intipatikan dalam ayat ( Shirathalladzina an ‘amta ‘alaihim – jalan mereka yang telah kau beri nikmat keatasnya ). Dan dalam ayat ini juga ada peringatan berkenaan AlQuran dan Muhammad SAW adalah yang terakhir bagi setiap insan, tiada lagi selepasnya dari Allah SWT, maka jika masih lalai, ingkar, jahil mahupun leka iaitu yang disebut sebagai wa’id, untuk mereka seksaan Allah yang amatlah keras dan berat. Allah simpulkan peringatan AlQuran ini untuk insan yang Maghdub sinonim yang dimurkai dan insan yang Dhaallin sinonim insan yang sesat di hujung surah iaitu ( Ghairil Maghdubi ‘alaihim waladdhaallin – bukan jalan orang-orang yang dimurkai atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat ).
Maka, lengkaplah sudah surah yang turun di Makkah AlMukarammah dan menjadi surat kalamullah pertama yang diwahyu turun kesemua ayatNya. Semoga 'pembukaan' ini menjadikan Fatihatul kitab ini begitu dekat dan terasa dihatiku dan dihati-hati muslimin muslimat yang dimuliakan kerana Allah seluruhnya.

Bibliografi; Tafsir El-Azhar, Prof. Hamka.

Allahu'Alam. Allahurabbuna. Wassalamua'alaikum warrahmatullah.


No comments: