Friday, October 31, 2008

Cerita 4 - Bekerja Jadi Ibadah Pada Taqwa.



Bismillahirrahmaanirrahim.
 
" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)". dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, Maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezki yang sebaik-baiknya ".
Assaba’ ( 34;39 )

Alangkah murahnya nilai hidup ini, jikalau ianya hanya suatu aturan warisan semata. Budaya turun menurun.. ikut-mengikut. Apalah harganya suatu kehidupan manusia itu, jikalau fikirannya hanya pada nasi, gulai, kelengkapan, hiburan dan kerja. Mengapa pula ya ?
Kersang jadinya nilai hidup ini, andai istilah bekerja diorientasikan matlamatnya hanya sekadar pendapatan untuk ‘survival’ hidup. Adat. Tanpa ada erti sebenar dan kepuasan hakiki didalamnya. Mencari duit sebanyaknya. Tetap tidak kaya-kaya. Berjaya dan kaya, berpangkat dan bernama tetapi mengapa berhati hiba jua. Senantiasa ruang-ruangnya terasa masih kosong. Kalau dulu kosong dengan harta, pangkat dan pengiktirafan masyarakat. Tetapi, melihat mereka yang ada sudah lebih separuh abad mengisikan kantung-kantung itu. Akan tetapi, kepuasan itu kelihatan sepertinya jauh.
Pekerjaan adalah bukan sekadar satu tuntutan hidup. Mencari rezeki itu adalah tuntutan. Tetapi, bekerja adalah lebih tinggi sifatnya. Ianya menjadi cermin kita kepada kehidupan. Disitulah seseorang itu dinilai fungsinya dalam masyarakat dan sebagai Muslim Muslimin, fungsinya di dalam menegakkan syariat Agama Islam. Manusia berbagai sifatnya itu lumrah. Dek kerana kemampuan yang berbeza itu juga perkerjaan itu wujud dalam bentuk kerja yang pelbagai. Tetapi, jika dilihat dari sudut yang atas, ianya bermatlamatkan satu. Menyokong dan menyiapkan antara satu sama lain supaya menjadikan masyarakat Muslim dan Agama Islam itu cukup lengkap dan kuat keseluruhannya. Sama ada yang bekerja (makan gaji ) atau yang bekerja dan menyediakan pekerjaan ( berniaga ). Masing-masing ada fungsi, yang tanpa antaranya akan jadi pincang jalan dan keampuhan keseluruhanya Jadi, berdasarkan itu, apa pun kerja yang kita lakukan fungsinya untuk masyarakat Muslim itu tetap ada dan besar sumbangannya dan ianya adalah IBADAH yang akan ada balasan pahalanya dari ALLAH SWT. Oleh itu saudaraku, aku menyeru diriku dan kalian, kembali selepas ini memuhasabahi kerja yang kita lakukan sehari-hari. Adakah kita lakukan secara profesional..? Hatta bahagian fungsi kita cuma pemotong rumput PBT tempatan. Kerana jika cukup syaratnya, balasan pahala ALLAH SWT cukup besar.. lebih besar dari Hakim, Peguam, Doktor dan Pengurus yang andai mereka itu hanya profesional pada taraf tetapi bersikap konvensional pada jalan dan perilaku sikapnya.

Konsep Kerja Harian Kepada Konsep Kerjaya Ibadah Harian
Islam adalah agama bekerja (amal ). Perkataan bekerja atau amal ini dinyatakan sebanyak 328 kali didalam Al-Quran. Asas tujuannya adalah untuk mendapat keredhaan ALLAH dan kebahagian dunia dan akhirat. Bagi seorang Islam berkerja itu adalah suatu harga diri. Kerana, dengan bekerjalah dia dapat menunjukkan fungsi dan sumbangannya kepada masyarakat dan agama. Inilah asas pemikiran utama yang harus ditanam di lubuk akal . Kemudian, akan datang terus kepada kita pendapatan/keuntungan yang punya syarat asas mendapat kebarkahan rezki dan mudah-mudahan berada dalam pembendaharaan rahmat ALLAH SWT.
Elemen Kerjaya (career) dalam Kerja Harian (chore).
Kemudian, kita harus tegar membezakan antara kerja harian (chore) dan kerjaya (career). Beza asas dalam bahasa, ianya yang membezakan antara kerja dan kerjaya itu dari sudut lahiriah fungsi dan sifat pekerjaan itu. Akan tetapi, pendapat  andai seorang yang kerja hariannya cuma operator di kilang, pembantu di pejabat, penghantar surat, pemotong rumput sehingga penyapu bahu jalan dan kelindan lori pengangkat sampah. Dan mereka ini dapat melihat dan menjalankan kerjanya secara profesional (menyeluruh dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab) hasil kerjanya akan penuh dengan ciri2 lengkap dan berinovasi. Disinilah yang mana pendapat apabila kerja harian di lihat dan diistilahkan kerjaya (career). Hasilnya akan jauh dari mereka yang hanya mengistilahkan sebagai kerja harian (chore) semata-mata.
Mengabung elemen ibadah setelah elemen kerjaya. Bagaimana?
Beberapa syarat perlu dipatuhi sebelum kerja itu diiktiraf sebagai ibadah.
Suatu Bidang Yang DiRedhai ALLAH :
Adalah kerja yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan syarak. Tidak melibatkan
sebarang unsur-unsur syubahah. Seperti terlibat secara langsung atau tidak dengan arak, judi, riba’ dan sebagainya.
Niat Kerana Allah Dan Jujur :
Apa pun yang kita lakukan didalam pekerjaan yang pertamanya mestilah kerana mencari keredhaan Allah SWT. Jujur pada diri sendiri tidak menipu atau mencuri. Ini termasuk didalam hal seperti pujukan atau alasan, masa bekerja, cuti dan lain-lain. Ini kerana ianya memberi kesan kepada hukum dan keberkatan pendapatan yang diterima hasil daripadanya.
Berusaha Bersungguh-sungguh :
Pekerjaan mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh tidak dengan sambil lewa. Gunakan segala faktor Fizikal, Mental, Emosi dan Rohani secara maksimum untuk penghasilan mutu kerja yang optimum.
Berdoa :
Inilah senjata Mukminin mukminat. Dengan berdoa kita akan sentiasa dapat memperbaiki diri, merasa tenang dan dapat mengikhlaskan tujuan kerana Allah SWT.
Tawakkal, Syukur dan Redha :
Sentiasa berniat memberi lebih banyak dan tidak terlalu berkira tentang apa yang diterima kerana tawakkal pada usaha dan yakin pada keadilan ALLAH SWT adalah yang terbaik.
Apa jua kerja yang dilakukan di atas niat ibadah akan mendatangkan rasa ketenangan dan kegembiraan hakiki pada diri. Niat kerana Allah adalah yang paling tinggi darjatnya. Hidup akan lebih bermakna dengan mendapat ganjaran di DUNIA dan AKHIRAT…. InsyaAllah.

" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin itu diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, Dan Itulah kemenangan yang besar ".
  Attaubah ( 9;111 )

Sesungguhnya, sebelum Allah hidupkan kita di rahim ibu yang lembut itu lagi seluruh hidup ni telah terijab transaksinya bersama ALLAH SWT. Telah kita jualkan diri dan harta itu kepada ALLAH SWT sebelum lagi diri dan harta itu yang sebenar wujud sifatnya. Jadi, yang kita kejar dan kerjakan, yang kita keluh kesahkan kerana sempit, yang kita megah besarkan kerana melimpah.. itu milik siapa sebenarnya saudaraku? Islam adalah suatu cara hidup. Agama yang sempurna dari ALLAH SWT untuk hambaNya. “ The Way Of Life “.Carilah makna didalam Islam tentang bekerja. Kerana separuh dari usia kita pemberian ALLAH SWT itu disitulah kita habiskannya…
Dengan BEKERJA.


Allahu'alam.Allahurabuna.

No comments: